Tuesday, October 5, 2010

Kerja dan Aktiviti Kemasyarakatan

Salam sejahtera buat semua rakan bloggers sekalian. Akhirnya, setelah sekian lama saya terputus hubungan dengan blog ini...hari ini, saya kembali membuka tirai penglihatan menerusi kaca mata seorang insan bergelar layman. Kini aku bukan seorang mahasiswa bagi tempoh 2 bulan ini, aku sudah menjadi salah seorang ahli masyarakat kampungku.

Tika ini, aku sedang berusaha mendapatkan kerja sambilan di pekan. Bukan gaji besar yang aku harapkan namun hanyalah pengalaman dan mengisi kekosongan waktu yang ada. Sekurang-kurangnya, aku dapat belajar sesuatu yang baru pada musim cuti semesta kali ini. Sudah tiga tempat yang aku pohon dan aku masih menunggu maklum balas dari mereka. Aku berharap aku akan dapat bekerja di salah satu tempat itu.

Kerja merupakan plan utama aku untuk cuti ini. Walau bagaimanapun, aku punya perancangan lain sebagai back-up [ back-up plan] sekiranya aku tiada rezeki diterima bekerja. Aku ingin berkhidmat sebagai ahli pakatan rewang kampung. Emak kata, sekarang kumpulan rewang itu sudah kurang orang. Jadi, apa salahnya aku turut serta bagi mengisi kekosongan itu. Dapatlah aku belajar sikit-sikit ilmu daripada otai-otai ni. Nanti, bila dah hidup bermasyarakat di mana sahaja sekali pun tidaklah aku kekok bercampur dengan orang. Aku sedar, aku paling muda antara mereka. Tidak mengapalah. Yang penting aku jujur dan ikhlas dalam bekerja.

Sememangnya, masyarakat di Johor terkenal dengan tradisi dan amalan turun-temurun misalnya rewang. Rewang ialah satu aktiviti masyarakat setempat di mana mereka akan bergotong-royong apabila ingin mengadakan majlis kahwin. Kebiasaannya, orang lelaki ditugaskan untuk mengangkat balai, pasang balai, memasak dan mencuci pinggan mangkuk. Perempuan pula ditugaskan untuk menyediakan juadah jamuan bagi pakatan rewang, membungkus berkat, melayang tetamu a.k.a pelayan, menyediakan bahan masakan dan sebagainya. Secara umumnya, perempuan lebih tertumpu pada kerja-kerja di dalam rumah dan lelaki di luar.

Rewang merupakan tradisi yang diwarisi oleh masyarakat Jawa di kampung saya. Untuk makluman, keluarga sebelah emak memang berketurunan Jawa, dari moyang yang berasal dari Indonesia. Saya bangga menjadi orang Jawa. Banyak amalan dan tradisi masyarakat yang perlu diambil sebagai contoh seperti rewang dan juga mengunjung. Mengunjung merupakan tradisi menghantar juadah hari raya kepada jiran dan sanak saudara yang berdekatan. Dengan adanya tradisi sebegini, hubungan antara masyarakat dapat dipupuk dengan lebih erat selain dapat menjernihkan suasana yang sedia keruh.





Rewang bukan sahaja diadakan untuk majlis kahwin sahaja tetapi juga untuk majlis-majlis seperti kenduri arwah, kenduri berkhatan dan juga majlis rumah terbuka. Saya harap agar suatu hari nanti, saya dapat meneruskan tradisi ini ditempat tinggal saya sekiranya saya berhijrah ke bandar.

Sekian untuk hari ini. Saya, Shafikah Sulaiman mengundur diri. Wassalam~

2 comments: