Friday, November 26, 2010

Diariku..Sukan Asia Guanggzhou


Sudah Tertulis…nyata hampa

Sabtu, 19 November 2010 merupakan hari duka buat semua peminat sukan Negara tatkala menyaksikan dua perlawanan akhir yang disertai skuad Negara bagi merebut pingat emas masing-masing dalam acara sepak takraw regu berpasukan dan juga regu badminton lelaki.

Kali ini, harapan skuad sepak takraw untuk memecah dominasi Thailand dalam sukan ini di Sukan Asia ke-16 di Guangzhou punah begitu mudah. Dalam usaha mengakhiri penantian menggapai emas selama 40 tahun lamanya, Malaysia telah membarisi pemain-pemain terbaik Negara terutamanya dalam regu pertama Negara iaitu Mohd Ariff, Putra Abd Ghani dan Normanizam. Iskandar Arshad selaku jurulatih skuad sepak takraw Negara sudah tentu mahu mengulangi kemenangan Malaysia menewaskan Thailand suatu ketika dahulu ketika mewakili Malaysia. Rentetan kekalahan regu pertama nyata tidak mampu dilenyapkan oleh regu kedua Negara, menjadikan Thailand menang 2-0 tanpa perlu menurunkan regu ketiga mereka. Walaupun Thailand melancarkan serangan psikologi namun memang tidak dapat dinafikan bahawa mereka terlalu ampuh untuk ditewaskan. Umum sudah mengetahui bahawa dalam sukan sepak takraw ini Malaysia dan Thailand sememangnya merupakan musuh tradisi. Dari segi permainan, jelas bahawa skuad Negara perlu meningkatkan prestasi dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan andai mahu terus membutirkan pingat emas dalam acara regu. Situasi yang menimpa mereka hari ini bolehlah disifatkan memakan diri kerana tidak berjaya menangani serangan psikologi yang dipamerkan kepada Thailand kerana terlalu yakin untuk menang. Selepas ini mereka perlu belajar untuk lebih focus kepada permainan dan tidak mudah kendur dengan serangan pihak lawan.

Dalam acara regu badminton lelaki pula, Malaysia yang diwakili oleh Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong tersungkur dalam set penentuan kepada pasangan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan. Pasangan Koo dan Tan menang dalam set pertama 21-16 dengan mempamerkan permainan yang menarik. Namun dalam set kedua, mereka berhempas pulas mengikat kedudukan sehinggalah kecundang di game point yang ke-5. Lantaran itu, mereka diheret ke set penentuan dan bermain sebaik mungkin namun kalah tipis 19-21. Apapun,aksi mereka dalam perlawanan akhir ini dapat dibanggakan kerana corak permainan yang begitu menarik dan mendebarkan. Mungkin tuah tidak menyebelahi mereka pada edisi kali ini bagi mengekalkan emas yang dimenangi di Doha 2006 lalu. Apakah lagi malang yang bakal menimpa skuad badminton Negara setelah tewas dalam Piala Thomas yang lalu? Kita masih menanti dan mengharapkan emas ke-4 negara dapat dituai oleh jaguh badminton Negara perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dalam pentas akhir nanti menentang musuh ketatnya Lin Dann dari China. Semoga skrip kekecewaan yang lalu tidak lagi dibawa dalam perlawanan kali ini dan sudah pasti semua mata tertumpu kearahnya esok. Sama-samalah kita saksikan.

Lagi emas yang menjadi sandaran buat kontinjen Negara ialah acara skuasy perseorangan lelaki dan wanita yang juga beraksi esok hari. Ratu squash Negara, Nicol Ann David diharap mampu membuahkan pingat emas sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi tiga kali berturut-turut. Bagi perseorangan lelaki pula, Azlan Iskandar juga memegang tanggungjawab yang besar untuk digalas di pentas final. Walau bagaimanapun, kita mengharapkan agar beliau dapat membantu kontinjen Malaysia mencapai target 9 emas dalam Sukan Asia edisi ke-16 kali ini.

Sebagai rakyat Malaysia yang penuh dengan semanga patriotisme, sama-samalah kita mendoakan kejayaan atlet Negara yang berjuang di sana. Akhir kata, majulah sukan untuk Negara!


23 November 2010, tercatat satu sejarah baru buat skuad hoki lelaki Negara apabila berjaya menewaskan India dalam peringkat separuh akhir. Kemenangan ini sekali gus membuka laluan buat Malaysia mara ke peringkat akhir buat pertama kalinya. Jaringan 4-3 ternyata menjadi gol keramat buat para pemain setelah terikat 3-3 pada waktu perlawanan sebenar. Azlan Misron telah berjaya menghadiahkan jaringan emas yang amat bermakna buat Negara dalam masa lima minit tambahan. Itulah senarionya. Benar! Tiada apa yang mustahil dapat berlaku di dunia ini. Skuad hoki berjaya mara ke final menumpaskan pasukan India, antara pasukan pilihan dan pasukan gergasi di Asia ini. Perlawanan akhir ini dijadualkan pada hari Khamis jam 4.55 petang. Sepanjang 11 hari berlangsungnya kejohanan Sukan Asia ke-16, kontinjen Malaysia berjaya mengutip 6 pingat emas, 11 perak dan 8 gangsa. Masih ada peluang untuk mencapai sasaran 9 pingat emas pada edisi kali ini menerusi sukan skuasy berpasukan lelaki dan wanita. Untuk makluman, Datuk Nicol Ann David dan Azlan Iskandar telah berjaya merangkul emas dalam acara skuasy perseorangan wanita dan lelaki. Syabas diucapkan!

24 November 2010, skuad karate Negara membuka tirai hari yang menceriakan apabila berjaya merangkul emas dalam acara kata lelaki dan acara tempur. Selain itu, Malaysia juga berjaya menempah gangsa dalam acara kata wanita. Dengan itu, Malaysia kini semakin hampir mencapai sasaran 9 emas dengan penambahan 2 emas hari ini. Antara perkembangan lain ialah menerusi atlet sukan terjun yang amat memberansangkan kali ini. Sejak membuka tirainya, atlet Negara berjaya menyumbang 4 perak menerusi acara 3 meter papan anjal seirama wanita ( Leong Mun Yee- Ng Yan Yee), terjun serentak 10 meter platform ( Leong Mun Yee- Pandalela Rinong), terjun serentak 3 meter papan anjal lelaki (Yeoh Ken Nee- Bryon Nickson Lomas) dan 3 meter platform seirama lelaki ( Yeoh Ken Nee- Bryan Nickson Lomas).

Hari ini juga menyaksikan skuad sepak takraw Negara turun sekali lagi bagi acara akhir regu Round Robin bertemu pasukan Thailand. Perlawanan ini sudah pasti merupakan misi menjulang emas setelah tewas acara regu berpasukan beberapa hari yang lalu. Namun, impian untuk membawa emas itu berkubur sebaik sahaja Thailand berjaya menundukkan Malaysia dengan kemenangan straight set 2-0. Hanya perak yang mampu dibawa pulang oleh skuad Negara. Itulah hakikat yang harus diterima walaupun pahit untuk ditelan. Mungkin ada hikmahnya dengan kekalahan yang dihadapai oleh skuad sepak takraw dan juga badminton. Hal ini demikian adalah kerana, kita berjaya menuai 2 emas yang tidak dijangka menerusi karate dan juga kecemerlangan skuad hoki lelaki yang mara ke peringkat akhir. Apa yang lebih menggembirakan seluruh rakyat Malaysia ialah menjadi juara Sukan Asia ini merupakan tiket untuk beraksi dalam Sukan Olimpik 2012. Mereka terpaksa mengharungi saat-saat getir esok apabila berentap dengan Pakistan bagi menentukan slot automatik Olimpik 2012. Selain itu, kita juga mengharapkan agar badi pingat gangsa yang diperoleh pada tahun 1962 (Jakarta), 1974 (Tehran), 1078 (Bangkok), 1982 (New Delhi), 1990 (Beijing) dan 2002 ( Busan) yang juga merupakan pencapaian terbaik setakat ini mahu ditamatkan. Seharusnya pujian diberikan kepada anak didik Stephen van Huizen dan Tai Beng Hock kerana menunjukkan prestasi yang tidak disangkakan serta semangat kesukanan yang kental tatkala berdepan dengan pasukan yang berada di rangking terbaik dunia seperti India dan Korea Selatan sebelum mara ke final. Sudah pasti esok tumpuan rakyat Malaysia bakal terarah ke padang hoki di Guangzhou, China bagi menyaksikan bakal juara hoki lelaki Sukan Asia edisi ke-16 ini.


Episod akhir hoki dan skuasy

26 November 2010, Sukan Asia edisi ke-16 di Guangzhou masih lagi berlangsung sebelum menutup tirainya esok. Semalam telah berakhirnya episod duka atlet Negara dalam acara hoki lelaki akhir dan juga skuasy berpasukan lelaki akhir. Apa yang ironinya, kita tewas dua kali berturut-turut kepada pasukan Pakistan dalam kedua-dua sukan ini. Mengulas lebih lanjut tentang aksi yang dipamerkan oleh suad hoki lelaki kebangsaan, mereka tampak gugup beraksi di pentas akhir buat pertama kali. Apatah lagi bila berdepan dengan satu pasukan yang cukup gah dan ampuh untuk ditawan. Diberitakan bahawa Suhail Abbas, pemain handalan Pakistan juga turut beraksi cemerlang demi meraih kejuaraan dalam Sukan Asia kali ini. Sememangnya, Pakistan merupakan pasukan yang paling cemerlang dalam arena sukan hoki ini setelah mendominasi kejuaraan-kejuaraan besar dunia yang berprestij tinggi. Kita juga sedia maklum bahawa kebelakangan ini pasukan Negara mengalami kemerosotan dari segi ranking jika dibanding suatu masa dulu berada di kedudukan 10 terbaik dunia. Apa-apa pun syabas diucapkan kepada wira-wira Negara yang berjuang di pentas akhir yang juga satu pencapaian yang membanggakan biarpun kita tewas di saat-saat akhir. Mungkin selepas ini, pihak Persatuan Hoki Malaysia (PHM) perlu memperbaiki serta melipatgandakan usaha untuk memenangi kejohanan hoki peringkat antarabangsa yang akan datang. Psikologi dan motivasi para pemain juga harus dipertingkatkan apabila berdepan dengan pasukan-pasukan gergasi di pentas dunia. Keyakinan diri serta semangat juang yang tinggi ialah intipati penting bagi memenangi sesuatu kejohanan yang disertai. Benarlah mind-setting itu berupaya mengawal tindak-tanduk seseorang dan emosinya. Itulah sebenarnya yang kadangkala menjadi punca kegagalan seseorang atlet itu, bukan kerana dia tidak mampu melakukanya tetapi dia tidak yakin dan percaya pada dirinya sendiri. Hal ini bukan saja perlu dalam arena sukan bahkan juga penting untuk mencapai sesuatu yang diimpikan dalam apa jua bidang.

Skuasy berpasukan lelaki peringkat akhir menyaksikan betapa gahnya pasukan Pakistan memenangi acara ini dengan kemenangan straight set 2-0. Apa sudah jadi dengan jaguh skuasy Negara Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee? Mereka nampak agak keletihan dalam setiap set permainan yang barangkali menjadi punca kekalahan mereka. Stamina atlet juga penting sebenarnya kerana kita tidak sepatutnya mudah mengalah hanya kerana keletihan. Apapun, itulah yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan oleh mereka selaku pemain skuasy Negara. Walaupun berada di kedudukan kurang baik berbanding pasukan lawan dari segi ranking dunia, itu bukanlah menjadi titik tolak suatu perjuangan. Di atas kertas, mungkin pihak lawan mudah menawan permainan tetapi segala-galanya mampu diubah tatkala berada di gelanggang. Hal ini terbukti apabila Amir Atlas Khan (Pak), pemenang pingat perak berjaya acara skuasy individu lelaki berjaya menumpaskan atlet kita, Azlan Iskandar yang merupakan pemenang pingat emas individu lelaki. Saya percaya, walaupun penat atau kecederaan kita mampu bertahan asalkan hati dan minda kita kental untuk terus berjuang di samping emosi yang terkawal.

Begitulah berakhirnya episod duka dalam kedua-dua acara ini. Walau bagaimanapun, kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran 9 pingat emas dimana atlet skuasy wanita Negara muncul juara dalam acara berpasukan wanita. Tahniah diucapkan buat mereka!

Hari ini, 27 November 2010. Sukan Asia Guangzhou ke-16 bakal menutup tirainya malam ini. Dengan itu, berakhir sudah cabaran atlet-atlet negara setelah berjaya menambah koleksi pingat semalam menerusi Karate acara tempur wanita 61kg (perak) dan terjun 10 meter platform lelaki (gangsa). Klik sini...

No comments:

Post a Comment